Thursday, 1 March 2012

Sejarah ANSARA

Sejarah penubuhan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) bermula dari cetusan idea YBhg Dato' Jamaluddin Abdul Hamid (mantan Timbalan Ketua Pengarah MARA) semasa menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Lepasan Pelajar MRSM Seremban (PPLM Seremban). 

Beliau mencadangkan supaya semua pelajar lepasan MRSM bernaung di bawah dibawah satu persatuan alumni. Beliau berpendapat bahawa hanya melalui berpersatuan, pelajar lepasan MRSM akan dapat menyumbang khidmat bakti mereka kepada Negara dengan lebih efektif.

Hasrat untuk mengadakan satu pertubuhan untuk semua pelajar lepasan MRSM bernaung adalah sesuatu yang murni dan tepat. Namun begitu, demi untuk memelihara identiti, keunikan serta nilai-nilai tersendiri setiap MRSM, persetujuan sebulat suara telah dicapai dikalangan Ahli Jawatankuasa Pro-Tem untuk menubuhkan Persatuan Pelajar Lepasan MRSM (PPLM) diperingkat MRSM sebelum bergabung untuk membentuk PPLM Malaysia. PPLM Seremban telah mengizinkan PPLM Malaysia menggunakan akronim ANSARA, yang sebelum itu digunakan oleh mereka.


Tanggal 14hb Februari 1993 telah menyaksikan hampir 1,000 orang pelajar lepasan MRSM dari pelbagai MRSM berkumpul di Oditorium MARA, Bangunan MARA (Lama) untuk merealisasikan pembentukan ANSARA. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato' Dr Mohd Yusof Noor.

Mengorak langkah seterusnya, ANSARA telah memohon untuk mendaftarkan persatuan ini dengan rasminya dan telah mendapat kelulusan dari Pendaftar pertubuhan pada 14hb Disember 1993. Mesyuarat Agung Pertama ANSARA, pada masa tersebut menggunakan nama Gabungan Persatuan Pelajar Lepasan MRSM Malaysia, telah diadakan pada 15hb Mei 1994.

Sembilan (9) PPLM telah bersetuju untuk bergabung dan bernaung dibawah ANSARA sebagai ahli. Persatuan-persatuan tersebut adalah PPLM :

1. Seremban, 
2. Kota Bharu, 
3. Kuantan, 
4. Kulim, 
5. Kuala Trengganu, 
6. Muar, 
7. Jasin, 
8. Beseri dan 
9. Balik Pulau.

Pelbagai aktiviti dijalankan oleh PPLM untuk ahli masing-masing manakala ANSARA memberikan tumpuan khusus kepada program-program yang melangkaui PPLM dan disertai oleh semua.
Dasar terbuka ANSARA juga telah menyaksi beberapa individu serta kumpulan dari luar kelompok bekas pelajar MRSM turut terlibat.

Pada tahun 1999, Jawatankuasa Pusat ANSARA telah bersetuju untuk menukar format persatuan dengan tidak lagi menggunakan PPLM sebagai ahli kepada ANSARA. Oleh yang demikian, terma 'Gabungan' tidak lagi sesuai digunakan. Sebagai ganti, ANSARA akan dianggotai oleh semua bekas pelajar manakala fungsi PPLM diambil alih oleh Cawangan-cawangan. Adalah dicadangkan bahawa nama penuh Gabungan Persatuan Pelajar Lepasan MRSMN Malaysia ditukar kepada Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia dan mengekalkan penggunaan akronim ANSARA.

Pada 17hb September 1999, Jawatankuasa Pusat ANSARA telah menghantar surat permohonan untuk menukar nama dan perlembagaan ANSARA dan ianya telah diluluskan oleh Pendaftar Persatuan pada 17hb Ogos 2000 melalui surat mereka bertarikh 6hb September 2000.

Serentak dengan kelulusan tersebut, sepuluh cawangan telah didaftarkan sebagai cawangan-cawangan di dalam ANSARA. Cawangan-cawangan tersebut adalah :

1. ANSARA Seremban, 
2. ANSARA Kota Bharu, 
3. ANSARA Kuantan (Kuatagh), 
4. ANSARA Kulim (AnsaraKu), 
5. ANSARA Muar, 
6. ANSARA Jasin, 
7. ANSARA Beseri (Anseri), 
8. ANSARA Balik Pulau, 
9. ANSARA Taiping  
10. ANSARA Kuala Berang (QBer). 

Manakala PPLM Kuala Trengganu mengambil keputusan untuk kekal sebagai PPLM dan tidak membentuk cawangan dibawah ANSARA.

Sehingga kini, ANSARA mempunyai empat belas (14) cawangan yang berdaftar setelah 
11. ANSARA Terendak ditubuhkan pada 2003, diikuti oleh 
12. ANSARA Serting (2004), 
13. ANSARA PDRM Kulim (2005) serta 
14. ANSARA Gerik (2007). 

Manakala bagi bekas pelajar yang tidak mempunyai cawangan berdaftar, keahlian mereka diambil alih oleh ANSARA Pusat dan diselenggara oleh Sekretariat ANSARA.

Adalah menjadi harapan ANSARA agar lebih ramai lagi bekas pelajar MRSM tampil kehadapan mendaftar sebagai ahli serta banyak lagi cawangan-cawangan ANSARA akan ditubuhkan.

Terkini:
ANSARA Kuala Terengganu (KTer) akhirnya telah didaftarkan secara rasmi di pejabat Pendaftar Persatuan pada hari Selasa 28hb Februari 2012.  

No comments:

Post a Comment